Selamat Datang Ke Blog Airku Air Malaysia

Tuesday 29 March 2011

Pembaziran Air... Siapa yang salah?



Air atau nama saintifiknya hidrogen oksida {H20} merupakan elemen hidup yang amat penting, kini dikatakan mengalami ancaman kekeringan disebabkan oleh pelbagai aktiviti pembaziran yang tidak dikawal. Kita harus sedar, tanpa air, manusia hanya mampu hidup selama seminggu sahaja. Ini adalah kerana 65% daripada tubuh manusia terdiri daripadanya. Sekiranya tubuh kita kehilangan air, kita akan mengalami penyahhidratan dan kemungkinan besar akan mati. Ini menunjukkan betapa pentingnya air di dalam tubuh badan kita selain daripada keperluan untuk pelbagai aktiviti harian seperti mandi, membasuh, memasak, mencuci dan juga keperluan di kilang-kilang perindustrian.

Sejauh manakah kesedaran kita akan hakikat dan apakah langkah-langkah wajar yang telah diambil dalam usaha mengurangkan proses pengeringan tersebut? Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita telusuri sedikit fakta daripada pakar geografi dimana telah disahkan bahawa bumi ini diliputi oleh 71% air. Air tawar dikatakan cuma 2.53% daripadanya. Manakala 69% daripada 71% air tersebut terdiri daripada permafost dan bongkah ais glasier. Sekitar 0.3% sahaja daripada keseluruhan air tawar yang ada di muka bumi ini yang boleh dijadikan air minuman terutamanya kepada manusia dan haiwan.

0.3% bukanlah satu jumlah yang besar jika mahu dibandingkan dengan jutaan pengguna yang ada di muka bumi ini. Ini adalah kerana, selain dari untuk penggunaan rutin manusia, air juga terlibat di dalam pelbagai kegunaan seperti pengairan untuk tanah-tanah pertanian, penghasilan elektrik di stesyen-stesyen janakuasa dan juga berfungsi sebagai pengalir keluar bahan cemar atau kumuh industri moden. Selain dari itu, pada zaman yang serba canggih ini, kita dapati proses ekologi yang menghasilkan air tawar sering diganggu pula oleh aktiviti pembangunan dan pengurusan alam sekitar yang tidak terancang. Pembinaan bangunan-bangunan, rumah-rumah kediaman, pusat-pusat rekreasi dan sebagainya dengan mengenepikan kelestarian sistem ekologi turut menyumbang kepada ancaman ini. Pertambahan penduduk dan pengurusan yang tidak teratur juga telah menjadi penyokong ke arah ancaman kekeringan yang sedia ada. Kerja-kerja pembalakan dan pembangunan yang sering berlaku di kawasan hutan telah secara tidak langsung menyebabkan juga gangguan proses ekologi di kawasan tadahan membuatkan kualiti dan kuantiti air telah menurun.

Dalam masa yang sama, kita dapati ada segolongan manusia yang tidak bertanggungjawab telah membuang sampah ke dalam sungai atau mencampakkan sisa-sisa toksid ke dalam laut yang membuatkan air tercemar dam amat berbahaya jika digunakan. Air yang telah tercemar boleh membunuh ikan-ikan dan haiwan-haiwan lain yang meminumnya. Ia juga boleh membuatkan penggunanya mudah dijangkiti pelbagai penyakit.

Kita seharusnya tidak mudah melupakan kepentingan sungai yang mana merupakan satu aset penting lantaran kepelbagaian fungsinya kepada kita dan makhluk-makhluk Allah yang lain. Sikap para pemaju, pengusaha, peniaga-peniaga dan segelintir manusia yang hanya memikirkan agenda serta keuntungan sendiri tanpa memikirkan kesan kepada pengguna yang lain juga amat dikesali. Langkah-langkah wajar harus diambil untuk mengelakkan pembaziran air juga tindakan tegas harus dikenakan supaya aktiviti pencemaran tidak lagi berlaku berleluasa. Individu atau pihak yang terlibat ini sebenarnya tidak langsung bimbang akan ancaman kekeringan air kerana mereka berpendapat, hujan yang menjujuh sepanjang tahun tidak mampu memberi apa-apa kesan kepada tindakan mereka. Realitinya, alasan tersebut meleset sama sekali kerana pada tahun 1998, Jabatan Alam Sekitar telah melaporkan bahawa 1/3 daripada sungai di negara kita telah tercemar dan fenomena banjir lumpur serta banjir kilat juga sering berlaku sedangkan dalam masa yang sama bekalan air minuman semakin berkurangan. Ini membuktikan, limpahan hujan yang turun sepanjang tahun bukanlah alasan yang boleh diterima sebagai faktor tidak berlaku kekeringan air. Pembangunan yang tidak terkawal, dengan melenyapkan belantara-belantara tebal, pokok-pokok menjadi gondol, bukit bukau menjadi rata, gunung-ganang menjadi botak, telah dibuktikan menjadi salah satu penyebab besar terhakisnya sumber air di sungai-sungai di negara kita. Dalam soal ini, kita tidak harus melupakan bahawa bekalan air minuman kita mempunyai hubung kait yang amat rapat dengan hutan hujan khatulistiwa.

Dari fakta ilmu geografi, kebanyakkan air yang mengalir ke sungai lazimnya berpunca dari kawasan perbukitan atau pergunungan berhutan tebal. Apabila hujan turun ke bumi, 1/3 akan diserap oleh tumbuhan, selebihnya diserap menjadi air bawah tanah. Ini adalah proses ghalib yang terjadi. Sekiranya tidak terganggu oleh apa-apa aktiviti penebangan pokok dan penggondolan muka bumi. Tetapi sekiranya keseimbangan ini diganggu oleh aktiviti-aktiviti tidak bertanggungjawab tersebut, ia akan menyebabkan peningkatan pengaliran air ke permukaan bumi yang dikaitkan dengan masalah pencemaran, banjir dan tanah runtuh. Jumlah air bawah tanah pula akan berkurangan dan menjejaskan kitaran air. Kendatipun tumbuhan semula jadi di kawasan tadahan membantu mengelakkan hakisan tanah dan bertindak sebagai penapis yang menghasilkan kualiti air sungai baik. Inilah yang seharusnya difahami serta disedari oleh kita dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar supaya ancaman terhadap kekeringan air dapat dihapuskan.

Kita harus menanam sikap menyayangi air. Jangan biarkan dunia ini kontang lantaran sikap yang negatif menjadi amalan. Hargailah kepentingan air yang menjadi keperluan utama kepada keharmonian, kesejahteraan dan kesempurnaan hidup makhluk sejagat. Tanamkanlah tugu keinsafan bahawa pertambahan jumlah penduduk dan perindustrian telah begitu banyak menyumbang kepada kadar penggunaan air yang tinggi dan seterusnya meningkatkan permintaan terhadap air sedang sikap tidak bertanggungjawab terhadap mengurangkan kadar ancaman kekeringan air terus juga diamalkan. Sebagai manusia yang dianugerahkan akal oleh Allah, yang memisahkan kita dengan haiwan, marilah kita bertindak segera menjimatkan penggunaan air bagi menjamin bekalannya tidak terganggu pada masa hadapan. Sebagai seorang manusia, kita hanya memerlukan 50 liter yakni lebih kurang 30 botol air mineral bersaiz 1 kg air sehari sebagai keperluan asas. Jumlah itu digunakan untuk minuman sebanyak 5 liter, proses kebersihan peribadi sebanyak 20 liter, mandi sebanyak 15 liter dan penyediaan makanan sebanyak 15 liter. Walaupun begitu, penggunaan air mampu mencapai 500 liter bagi setiap individu yakni bersamaan 333 botol air mineral bersaiz 1 kg sekiranya sikap suka membazir tidak dikawal.

Di bawah ini, merupakan langkah-langkah ringkas penjimatan yang harus diamalkan oleh setiap individu dalam usaha membantu mengurangkan kadar pengeringan air dan pencemarannya di muka bumi.

  • Jangan membuang sampah atau apa sahaja yang boleh dianggap sisa buangan ke dalam sungai, parit, saliran, tasik atau laut.
  • Kurangkan penggunaan bahan kimia dan racun perosak terhadap tanaman di dalam taman seperti rumput rampai dan pokok-pokok bunga.
  • Sewaktu di bilik membasuh, jimatkan air dengan mengelakkan air paip mengalir secara berterusan. Gunakan baldi atau besen apabila mencuci pinggan mangkuk, makanan dan sebagainya. Ketika memberus gigi contohnya: gunakanlah hanya segelas atau secawan air. Jangan biasakan menggunakan air terus dari mulut pili yang mengalir deras. Sekiranya ini dilakukan bermakna kita telah membazir air sebanyak lebih kurang 9 liter seminit. Tutup paip air sewaktu memberus gigi atau bercukur. Air paip yang dibiarkan menitik boleh membazirkan 12,000 liter setahun.
  • Penuhi mesin basuh dengan pakaian yang hendak dicuci. Jangan biarkan banyak ruang kosong. Cara ini dapat menjimatkan air sebanyak lebih kurang 23,000 liter air setahun.
  • Kurangkan masa mandian secara shower. Mandi menggunakan baldi kecil atau penceduk adalah cara yang baik. Lebih kurang 17,000 liter air dapat dijimatkan sekiranya mandi dihadkan selama 5 minit sahaja.
  • Setiap rumah terutamanya rumah orang-orang Islam perlu mempunyai sebuah kolam bagi menyimpan air hujan. Kolam tersebut mestilah melebihi saiz dua kolah supaya dapat berwuduk secara mencelupkan anggota selain dari dapat digunakan untuk kegiatan mencuci luar rumah seperti mencuci kereta, menyiram pokok tanaman, mencuci lantai dan sebagainya. Negara kita menikmati 3000 mm hujan setiap tahun. Secara purata, sebuah rumah boleh menjimatkan 40% bersamaan 180,000 liter kegunaan air setiap tahun dengan air hujan yang dikumpulkan.
  • Berjimat sewaktu mengepam tandas. Tangki tandas yang menggunakan sistem pam separuh atau isipadu yang lebih kecil boleh menjimatkan 35,000 liter air setahun. Sekiranya menggunakan tandas model lama, letakkan bekas plastik berisi pasir atau batu-batu kecil ke dalam tangki. Bekas itu akan mengurangkan air untuk setiap pam tanpa menggangu keupayaan tandas tersebut.
  • Kurangkan kekerapan mencuci kereta. Memadailah seminggu sekali atau dua minggu sekali untuk mengelakkan pembaziran air. Kalau boleh, gunakan baldi dan bukannya hos untuk kerja-kerja pencucian tersebut.
  • Selalulah membuat pemeriksaan kebocoran terhadap tangki-tangki air yang terdapat di rumah. Cara ini mampu menghalang pembaziran beribu-ribu liter air sebulan.
  • Kitar semula dan guna pakai kembali air yang telah digunakan. Contohnya, tadah air mandian untuk digunakan untuk menyiram tanaman, air basuhan pinggan mangkuk untuk mencuci tandas dan sebagainya. Dengan cara ini, pembaziran air dapat dielakkan
Sebagai kesimpulannya, bersamalah kita menyayangi air. Insafilah kepentingannya yang terlalu besar itu. Jangan biarkan dunia kita ini kian kontang disebabkan oleh sikap negatif kita yang keterlaluan.

No comments:

Post a Comment